Faedah-Faedah Bagi Anggota Yang Sedang Berkhidmat

Pengeluaran Sekaligus Termasuk Dividen dan Bonus

Pencarum wajib yang bertaraf tidak berpencen akan dibayar semua wang simpanannya dan caruman kerajaan termasuk dividen dan bonus terkumpul secara sekaligus apabila pencarum meninggal dunia (pembayaran kepada waris), berhenti atau bersara daripada perkhidmatan, atau telah mencapai umur 50 tahun.

Pencarum wajib yang berpencen akan hanya dibayar wang simpanannya termasuk dividen dan bonus yang terkumpul sahaja secara sekaligus tanpa sumbangan kerajaan apabila pencarum meninggal dunia (pembayaran kepada waris), berhenti atau bersara daripada perkhidmatan atau telah mencapai umur 50 tahun. Wang sumbangan kerajaan dikembalikan kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP untuk bayaran pencen bulanan.

Pencarum sukarela boleh mengeluarkan wang simpanannya pada bila-bila masa dan ianya diberikan kelonggaran untuk menjadi ahli bagi kali kedua walaupun telah membuat pengeluaran caruman kali pertama.

Skim Faedah Kematian dan Hilang Upaya

Pencarum secara automatik mendapat perlindungan di bawah Skim Faedah Kematian dan Hilang Upaya. Skim ini membolehkan sejumlah wang dibayar kepada pencarum yang diberhentikan atas sebab kecacatan akal fikiran atau anggota fizikal yang kekal atau pembayaran kepada waris yang sah apabila pencarum meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan.

Pengeluaran Sebahagian Caruman Untuk Membeli Harta Tak Alih

Pencarum dibenarkan untuk membuat pengeluaran perumahan tidak melebihi 40% daripada akaun caruman ahli (Akaun 2) atau 10% daripada harga harta tak alih atau maksima RM10,000.00 yang mana lebih rendah untuk pembelian rumah kediaman pertama atau sebidang tanah untuk membina rumah kediaman. Pengeluaran ini dibenarkan hanya sekali sahaja dalam tempoh perkhidmatan tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Pengeluaran Sebahagian Caruman Untuk Menunaikan Haji

Pencarum yang menerima Surat Pengesahan Tawaran Menunaikan Ibadah Haji dari Lembaga Tabung Haji (TH) dibenarkan membuat Pengeluaran Haji dengan jumlah maksima sebanyak RM10,000.00. Kemudahan pengeluaran ini dibenarkan hanya sekali sahaja dalam tempoh perkhidmatan tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Pengeluaran Sebahagian Caruman Untuk Menyambung Pelajaran

Pencarum yang sedang mengikuti pengajian peringkat tinggi di Universiti Awam Tempatan dibenarkan membuat pengeluaran pendidikan bertujuan bayaran balik yuran kemasukan tahun pertama dengan jumlah maksima sebanyak RM3,200.00 sekali dalam tempoh perkhidmatan.

Tambahan Caruman Ahli (TCA)

Bermula 2 Januari 2024, Pencarum Wajib LTAT boleh menambah caruman mereka sebagai tambahan kepada caruman wajib bulanan sedia ada. Tambahan Caruman Ahli (TCA) bulanan bermula pada kadar minima RM25.00 dan sebarang perubahan amaun hendaklah dibuat dalam gandaan RM5.00. Borang permohonan TCA yang lengkap diisi boleh diserahkan melalui kaunter LTAT atau secara pos.

Faedah-Faedah Bagi Anggota Yang Akan Dan Telah Bersara

Program Latihan Peralihan Bagi Anggota Tentera Yang Akan Dan Telah Bersara

LTAT menawarkan pelbagai program latihan peralihan bagi anggota tentera yang akan dan telah bersara untuk menyediakan mereka untuk kerjaya kedua melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), sebuah perbadanan milik penuh LTAT yang telah ditubuhkan dalam tahun 1994.