
Faedah-Faedah Bagi Anggota Yang Sedang Berkhidmat
Pengeluaran Sekaligus Termasuk Dividen dan Bonus
Pencarum wajib yang bertaraf tidak berpencen akan dibayar semua wang simpanannya dan caruman kerajaan termasuk dividen dan bonus terkumpul secara sekaligus apabila pencarum meninggal dunia (pembayaran kepada waris), berhenti atau bersara daripada perkhidmatan, atau telah mencapai umur 50 tahun.
Pencarum wajib yang berpencen akan hanya dibayar wang simpanannya termasuk dividen dan bonus yang terkumpul sahaja secara sekaligus tanpa sumbangan kerajaan apabila pencarum meninggal dunia (pembayaran kepada waris), berhenti atau bersara daripada perkhidmatan atau telah mencapai umur 50 tahun. Wang sumbangan kerajaan dikembalikan kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP untuk bayaran pencen bulanan.
Pencarum sukarela boleh mengeluarkan wang simpanannya pada bila-bila masa dan ianya diberikan kelonggaran untuk menjadi ahli bagi kali kedua walaupun telah membuat pengeluaran caruman kali pertama.

Skim Faedah Kematian dan Hilang Upaya
Semua pencarum secara automatik mendapat lindungan di bawah Skim Faedah Kematian dan Hilang Upaya LTAT. Skim ini membolehkan sejumlah wang dibayar kepada pencarum yang diberhentikan atas sebab kecacatan fikiran atau tubuh badan, atau kepada waris pencarum yang meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan.

Pengeluaran Sebahagian Caruman Untuk Membeli Rumah/Membeli Tanah/Pembinaan Rumah di Atas Tanah Sendiri
Pencarum dibenarkan untuk membuat pengeluaran perumahan tidak melebihi 40% daripada akaun caruman ahli sahaja atau 10% daripada harga harta tak alih yang mana lebih rendah, untuk pembelian rumah kediaman pertama atau sebidang tanah untuk membina rumah kediaman. Pengeluaran Perumahan sekali sahaja dalam tempoh perkhidmatan.

Pengeluaran Sebahagian Caruman Untuk Menunaikan Haji
Pencarum yang menerima Surat Pengesahan Tawaran Menunaikan Ibadah haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH) dibenarkan membuat pengeluaran haji sebanyak maksimum RM10,000, Pengeluaran Haji sekali sahaja dalam tempoh perkhidmatan.

Pengeluaran Sebahagian Caruman Untuk Menyambung Pelajaran
Pencarum yang sedang mengikuti peringkat pengajian tinggi di Universiti Awam Tempatan dibenarkan membuat pengeluaran pendidikan bertujuan bayaran balik yuran pendaftaran/yuran kemasukan (enrollment fee) tahun pertama sebanyak maksimum RM3,200. Pengeluaran Pendidkan sekali sahaja dalam tempoh perkhidmatan.
Faedah-Faedah Bagi Anggota Yang Akan Dan Telah Bersara
Program Latihan Peralihan Bagi Anggota Tentera Yang Akan Dan Telah Bersara
LTAT menawarkan pelbagai program latihan peralihan bagi anggota tentera yang akan dan telah bersara untuk menyediakan mereka untuk kerjaya kedua melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), sebuah perbadanan milik penuh LTAT yang telah ditubuhkan dalam tahun 1994.